Allah memperkenalkan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim sebagai sifatNya yang pertama kepada manusia. Kenapa sifat ini didahulukan dan dinyatakan kepada hambaNya agar hambaNya merasa tenang dan aman kerana Tuhan yang menciptakannya mempunyai sifat-sifat yang begitu indah.
Allah menyuruh kita memperhatikan diri dan segala nikmatnya, supaya terpancar pada hati insan benih kasih sayang. Perhatikan kerdipan mata kamu, sinar mata kamu yang cantik, hembusan nafas kamu, bunyian di telinga kamu, keenakan rasa di hujung lidah kamu, keindahan susunan gigi kamu dan kedua bibir yang menutupnya, degupan jantung dan pengaliran darah ke seluruh tubuh kamu yang sempurna. Perhatikan sekeliling kamu, keluarga, rakan-rakan dan alam. mereka dicipta agar kamu tidak kesunyian di alam ini.
Sesungguhnya manusia yang mengenal kasih sayang Allah tidak akan lemah dan kecewa. Dia tidak akan merasai sunyi walaupun seluruh manusia tidak menyayanginya. kerana dia tahu Allah menyayanginya. Allah tidak bersifat membenci hambaNya dan Dia sentiasa melimpahkan kasih sayangNya kepada hamba-hamba yang sentiasa merasa berhajat kepadaNya.
Kepada manusia di sekelilingnya penuh dengan pujian dan sanjungan orang lain, berhati-hatilah, belum tentu Allah menyayanginya. Apakah makna kasih sayang manusia jika Allah memurkai kita dan apakah makna kebencian manusia sedangkan Allah menyayangi kita?
Sifat pengampunNya mendahului sifat kemurkaanNya terhadap apa-apa kesalahan yang di lakukan hambaNya. Apabila hambaNYa mahu keampunan seolah-olah Dia membisikkan
"Demi kasih sayang aku kepada kamu, aku akan melupakan segala kesalahan yang engkau lakukan walaupun kelakuan kamu benar-benar menimbulkan kemurkaan aku. tetapi apabila engkau datang dengan jiwa kekesalan dan memohon keampunan, hancur leburlah kemurkaan aku kepada kamu wahai hamba aku".
Demikianlah gambaran keagungan kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya.
Lihatlah kepada hukum hakamNya, semuanya adalah gambaran kasih sayang Allah. Cuba perhatikan sifat fitrah insan jika sayang kepada sesuatu, pasti dia akan mengawasinya agar tidak rosak. orang yang menyanyangi kereta akan mencipta hukum untuk penjagaan kereta agar tidak rosak. dia sanggup berkorban masa dan wang ringgit demi menjaganya. Begitulah juga dengan ibu bapa yang menyayangi anaknya, mereka akan melarang anaknya melakukan perkara yang kadang-kala anak-anak itu tertanya-tanya dalam jiwanya, “kenapa aku tidak dibenarkan melakukan itu dan ini.”
Begitulah juga Allah dengan hamba-hambaNya. Kenapa Dia mengharamkan arak, judi ? kerana Dia tidak mahu akal kamu rosak, isteri dan anak-anak kamu dalam ketakutan. Rumahtangga kamu akan hancur, kehidupan kamu tiada tujuan dan bercelaru. Kamu pula menjadi hamba kepada hawa nafsu yang membawa kamu ke dunia khayalan.
Allah mengharamkan makanan yang membahayakan kesihatan kamu, kerana Allah yang mencipta makanan dan dia juga yang Maha Mengetahui tentang bahayanya kepada manusia. Dia mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita supaya wanita tidak di rosakkan lelaki yang tidak bertanggungjawab dan supaya lelaki tidak rosak akal fikirannya. Haram dan halal adalah lambang kasih-sayangNya supaya hambaNya tidak di rosakkan oleh syaitan dan nafsu.
Manusia yang menjaga hukum Allah adalah manusia yang mendidik dirinya supaya bebas dari belenggu penderitaan menjadi tawanan nafsu serta alam ini. Akhirat kelak adalah tempatnya yang kekal abadi.
No comments for "Kasih Sayang Allah kepada kita"!
Leave a Reply